Industri perfileman tempatan jarang sekali mengetengahkan filem-filem bertemakan politik, lebih-lebih lagi yang memiliki unsur-unsur ‘thriller’. Seingat saya, hanya beberapa filem pernah dihasilkan, dan kebanyakkannya lebih menjurus kepada dokumentari dan sejarah.
Saya tidak pasti kenapa tema seperti ini kurang mendapat tempat dihati pembikin filem tempatan. Mungkin kerana halangan dari badan kerajaan ataupun penerimaan masyarakat menjadi faktor kenapa tema politikal amat jarang sekali dihasilkan.
Bagi memberi kelainan dalam industri perfileman tempatan, syarikat produksi Lacuna Pictures dan pengarah serta penulis Imran Sheik tampil memberikan satu karya yang cukup berani, iaitu Daulat dimana ia menjadi filem pertama tempatan yang mengabungkan politik dan thriller.
Filem lakonan Vanida Imran, Rashidi Ishak dan Tony Eusoff ini membawa penonton meneroka sisi gelap dunia politik dimana parti politik MUNA sanggup melakukan apa sahaja bagi merampas tampuk pemerintahan kerajaan selepas tewas ditangan parti Wawasan pada pilihanraya. Suri lakonan Vanida Imran telah diberi tugas oleh Hassan (Tony Eusoff) yang juga merupakan presiden MUNA, dalam merencana strategi bagi memenangi kembali pilihan raya yang akan datang.
Berdasarkan trailer dan klip filem, Daulat dijangka memberi sebuah karya yang berani kerana mendedahkan kekotoran dalam dunia politik. Tetapi sayang, semuanya sekadar indah dari rupa. Daulat tidak begitu mendebarkan, dan tidak cukup ‘politik’. Walaupun memasukkan skandal seks, komplot rampasan kuasa dan perang psikologi, Daulat gagal mewujudkan debaran dalam penceritaannya. Bagi saya plot filem ini sangat mendatar, berserabut dengan subplot yang tidak konsisten dan membosankan. Paling menghairankan, tiada langsung ‘thriller’ dalam filem ini meskipun bertemakan politik thriller. Saya tidak tahu dimanakan thriller filem ini kerana unsur-unsur politik hanya dipaparkan ‘sipi-sipi’ sahaja. Malah permainan politik dalam menjatuhkan parti lawan tidak dibuat secara bersungguh-sungguh, sebaliknya terlampau menumpukan permasalahan koperat, tikam belakang dan skandal seks. Daulat sepatutnya memberi fokus pada watak Suri dan perancangan politiknya sendiri dari mewujudkan beberapa subplot yang gagal memberi penekanan pada ceritannya.
Ulasan
Catat Ulasan