Langkau ke kandungan utama

BENARKAH RASULULLAH S.A.W PERNAH MEMILIKI KUCING BERNAMA MUEZZA?



Secara umumnya, Islam mewajibkan berbuat ihsan kepada kesemua makhluk meliputi manusia, tumbuhan, dan juga haiwan. Berbuat ihsan kepada haiwan seperti kucing adalah wajib hukumnya dalam erti kata tidak menyakiti dan menzalimi haiwan tersebut. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Syaddad bin Aus R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :


‏ إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ


Maksudnya : Sesungguhnya Allah telah mewajibkan berbuat ihsan kepada setiap sesuatu.


Riwayat Muslim (1955)


Demikian juga menzalimi kucing boleh membawa seseorang itu ke dalam neraka. Ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Abdullah bin ‘Umar R.Anhuma beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :


عُذِّبَتِ امْرَأَةٌ فِي هِرَّةٍ حَبَسَتْهَا، حَتَّى مَاتَتْ جُوعًا، فَدَخَلَتْ فِيهَا النَّارَ


Maksudnya: Seorang perempuan diazab disebabkan seekor kucing yang dia kurung sehingga ia mati kelaparan. Maka wanita tersebut masuk ke dalam neraka disebabkannya.


Beberapa perbuatan zalim yang dilakukan oleh perempuan ini kepada kucing tersebut disebutkan di dalam sambungan hadis di atas iaitu dikatakan kepadanya :


 لاَ أَنْتِ أَطْعَمْتِهَا وَلاَ سَقَيْتِهَا حِينَ حَبَسْتِيهَا، وَلاَ أَنْتِ أَرْسَلْتِيهَا فَأَكَلَتْ مِنْ خَشَاشِ الأَرْضِ


Maksudnya : Kamu tidak memberi makan dan minum kepadanya ketika kamu mengurungnya. Begitu juga kamu tidak melepaskannya sehingga ia boleh makan serangga yang berada di tanah.


Riwayat Al-Bukhari (2365)


Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan, setelah pencarian dilakukan di dalam kitab-kitab hadis yang muktabar, ia tidak menemukan walau satu riwayat yang menyebutkan bahawa Rasulullah S.A.W memiliki dan membela seekor kucing dengan nama tersebut. Bahkan kebanyakan kisah-kisah Rasulullah S.A.W bersama kucing adalah tidak ada asalnya di dalam kitab-kitab yang muktabar, meskipun ia masyhur kedengaran.


Meskipun begitu, ini sama sekali tidak menafikan tuntutan berbuat baik kepada kucing serta pengharaman menzalimi dan menyakiti kucing. Isu ini telah kami kupas secara panjang lebar di dalam Al-Kafi #1534 : Benarkah Ada Tuntutan Syarak Untuk Membela Kucing ? 


Penutup

Sebagai kesimpulan, perbahasan ini diakhiri dengan beberapa noktah yang berikut :


Tidak terdapat walau satu pun riwayat yang sahih menunjukkan bahawa Rasulullah S.A.W pernah membela atau memiliki seekor kucing bernama Mu’izzah meskipun kisah berkenaannya begitu masyhur dalam kalangan masyarakat.

Menyandarkan hal ini kepada Rasulullah S.A.W dikhuatiri termasuk dalam perbuatan berbohong atas nama Rasulullah S.A.W. yang amat tegas ancaman dan larangan terhadapnya berdasarkan sabda Rasulullah S.A.W :

 إِنَّ كَذِبًا عَلَىَّ لَيْسَ كَكَذِبٍ عَلَى أَحَدٍ، مَنْ كَذَبَ عَلَىَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ


Maksudnya : Sesungguhnya pendustaan ke atas aku tidak sama seperti pendustaan ke atas orang lain. Sesiapa yang berdusta ke atasku secara sengaja maka siap sedialah tempat duduknya di dalam neraka.


Riwayat Al-Bukhari (1291)


Justeru, sebarang penyebaran yang menyatakan bahawa Rasulullah S.A.W ada membela seekor kucing kesayangan bernama Mu’ezza hendaklah dihentikan, kecuali bagi menjelaskan kepalsuannya.

Ini sama sekali tidak menafikan tuntutan berlaku ihsan kepada kucing serta haram menzalimi dan menyakitinya.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

BAHASA ASING DIAGUNG-AGUNGKAN, BAHASA MELAYU DITINGGAL-TINGGALKAN ?

  Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu memelihara bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan negara ini. Tidak kiralah dalam apa bidang sekalipun, pertuturan dalam bahasa ini perlu dijaga. Namun, menyedihkan apabila bahasa kebangsaan semakin disisihkan. Dirosakkan gara-gara penggunaan bahasa rojak, pasar mahupun bahasa asing yang semakin berleluasa sekarang ini. Tidak perlu pergi jauh, lihat sahaja drama tempatan kita. Penggunaan bahasa Melayu yang sebenar-benarnya itu semakin diabaikan. Malah dalam program hiburan sendiri, artis dilihat lebih memilih bertutur dalam bahasa Inggeris. Memang tidak pandai berbahasa Melayukah? Persoalannya, adakah itu sudah menjadi satu budaya? Atau kita masih berpeluang memperbetulkan situasi. Mari, kita ikuti pandangan selebriti tempatan berkenaan isu ini. Wajibkan bahasa Melayu, jangan rosakkan– Zed Zaidi Bagi pelakon dan Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Rozaidi Jamil atau Zed Zaidi, dia amat memandang serius berhubung pengguna...

FILEM DAULAT TIADA KAITAN DENGAN POLITIK SEMASA

Industri perfileman tempatan jarang sekali mengetengahkan filem-filem bertemakan politik, lebih-lebih lagi yang memiliki unsur-unsur ‘thriller’. Seingat saya, hanya beberapa filem pernah dihasilkan, dan kebanyakkannya lebih menjurus kepada dokumentari dan sejarah. Saya tidak pasti kenapa tema seperti ini kurang mendapat tempat dihati pembikin filem tempatan. Mungkin kerana halangan dari badan kerajaan ataupun penerimaan masyarakat menjadi faktor kenapa tema politikal amat jarang sekali dihasilkan. Bagi memberi kelainan dalam industri perfileman tempatan, syarikat produksi Lacuna Pictures dan pengarah serta penulis Imran Sheik tampil memberikan satu karya yang cukup berani, iaitu Daulat dimana ia menjadi filem pertama tempatan yang mengabungkan politik dan thriller. Filem lakonan Vanida Imran, Rashidi Ishak dan Tony Eusoff ini membawa penonton meneroka sisi gelap dunia politik dimana parti politik MUNA sanggup melakukan apa sahaja bagi merampas tampuk pemerintahan kerajaan selepas tewas...